Jumaat, 26 Jun 2009

PERGINYA DUA BINTANG TERSOHOR

Pagi tadi sebaik sampai ke pejabat, saya dikhabarkan oleh rakan tentang dua kematian bintang tersohor dunia iaitu Raja Pop Michael Jackson dan Farrah Fawcett, pelakon popular sekitar 1970an. Michael atau dikenali dengan nama Jacko mati disebabkan kegagalan fungsi jantung dan Farrah pula akibat sakit barah yang ditanggungnya. Farrah merupakan pelakon siri tv penyiasatan 'The Charlie's Angels' bersama dua orang rakannya iaitu Kate Jackson dan Jaclyn Smith. Siri ini memang diminati ramai termasuk saya, kakak dan adik sekitar tahun 1970an. Ketika itu, kami masih di bangku sekolah rendah. Malah kami pernah berangan menjadi ala-ala tiga wanita ini. Selepas siri ini berakhir, kami masih meminati ketiga wanita ini dan menjadi idola kami hingga kami dewasa. Manakala Michael Jackson pula, saya meminati dia tika era 80an iaitu semasa dia masih kekal dengan identiti kulit hitamnya. Selepas dia menjalani 'plastic surgery', mengubahkan identiti dirinya dari kulit hitam ke kulit putih, rasa minat terhadap dirinya sudah hilang. Namun begitu, saya amat menyukai lagu-lagu nyanyiannya. Penyanyi berusia 50 tahun ini begitu sinonim dengan lagu Beat It, Heal The World, Billie Jean, Thriller dan banyak lagi. Walaupun sering dilanda kontroversi yang agak mengaibkan, namun paling saya suka tentang Michael Jackson adalah keprihatinannya terhadap alam sekitar dan kemanusiaan. Michael juga dikatakan telah memeluk agama Islam dan menggunakan nama Mikaeel. Bagaimanapun, beliau tidak pernah mengumumkan secara rasmi tentang hal itu. Kiranya benar Michael telah memeluk Islam, kita doakan moga rohnya dirahmati Allah. Al-fatihah....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.