Jumaat, 31 Julai 2009

PENTAS AKHIR 'ANAK WAYANG'

Salam.
"Pencarian Anak Wayang sudah sampai ke kemuncaknya. Di antara Hairi dan Hafiz, siapakah yang layak dinobatkan sebagai 'Anak Wayang' ? Adakah corak lakonan yang disulami penghayatan memberangsangkan, mampu memikat hati seterusnya dapat memancing undi penonton? Malam ini menjadi penentunya!"
Begitulah sedikit coretan Aishah PR dari Astro yang mengirim emel jemputan kepada saya ke Majlis Pentas Akhir Anak Wayang. Ia akan berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) jam 9.00 malam ini. Bagi anda penonton setia, bolehlah tontonnya di saluran Astro Ria (104) dan Astro Prima (105).

Foto : Ihsan Murai.Com

Khamis, 30 Julai 2009

MUKHSIN DI SLOT CEREKARAMA

Salam. baru sebentar tadi saya menerima emel dari Irma, rakan PR dari TV3. Irma memaklumkan filem Mukhsin akan ditayangkan di TV3 pada 1 Ogos (Sabtu) pada jam 10 malam iaitu selepas siaran Majalah 3 edisi khas "Yasmin Dalam Kenangan" dengan judul Pewarisan Yasmin Ahmad. Penyiaran filem Mukhsin sebagai tanda penghormatan terhadap arwah yang dikenali sebagai insan seni kreatif. Karya-karya arwah kebanyakannya melambangkan perpaduan, kasih sayang dan kejujuran. Ketika hayat, arwah dilihat sebagai seorang insan yang sangat jujur dan bersikap terbuka dalam menterjemahkan kehidupan realiti masyarakat negara ini. Biarpun, diasak kontroversi, namun beliau tetap teguh dan tegas dengan pendiriannya. Jadi, jangan lupa saksikan hasil 'buah tangan' arwah Yasmin Ahmad ini sambil kita hayati maksud yang ingin disampaikannya - Al-Fatihah. Poster filem Mukhsin. Filem ini mendapat beberapa anugerah antarabangsa. Salah satu babak dalam filem Mukhsin yang membabitkan dua pelakon berbakat Aryana dan Mohd Syafie Naswip. Watak "Mukhsin" membawa tuah kepada Mohd Syafie Naswip apabila memenangi anugerah bagi kategori Pelakon Kanak-Kanak di Festival Filem Malaysia tahun 2007 di Pulau Pinang. Kini Syafie menjadi salah seorang pelakon remaja lelaki popular.

Rabu, 29 Julai 2009

"PEWARISAN YASMIN AHMAD"

Salam. Saya terima emel dari Yusnita, rakan PR dari TV3 yang memaklumkan tentang segmen khas berjudul "Pewarisan Yasmin Ahmad" yang akan disiarkan melalui slot Majalah 3 pada 2 Ogos ini jam 9.00 malam. Dalam program satu jam itu, memaparkan hasil kerja arwah Yasmin Ahmad serta disusuli temuramah bersama ahli keluarga serta sahabat handai yang begitu rapat dengan arwah seperti Datuk Sri Farid Redzuan, Azean Irdawaty, Fatimah Abu Bakar dan ramai lagi. Temuramah ini berkisar tentang perasaan mereka kehilangan serta memori bersama arwah. Turut dimuatkan tentang pelbagai anugerah yang dimenangi sepanjang membabitkan diri dalam dunia perfileman. Jangan lupa saksikan perjuangan seorang anak seni yang hebat ini sambil kita sedekahkan Al-Fatihah untuknya..............................

Selasa, 28 Julai 2009

ALHAMDULLILAH!

Setiap hari Sabtu kiranya tidak ada urusan penting, saya pasti tidak lepaskan peluang menghadiri kelas agama yang diadakan di Seksyen 5, Wangsa Maju. Ustaz Azhan yang mengendalikan kelas ini nyata seorang yang cukup tenang dan bersahaja membuatkan kami tidak terasa kekok atau janggal.
Malah, cara Ustaz itu membuatkan kami mudah untuk berinteraksi dengannya terutama untuk bertanya apa-apa jua masalah yang dimusykilkan. Minggu ketiga, sangat bererti kepada saya. Kelas sepatutnya hanya satu jam iaitu 3 ptg - 4 ptg, tapi terlajak hampir ke jam 5 ptg.
Ini gara-gara Ustaz begitu teruja memberi nasihat yang berguna kepada kami. Banyak nasihat yang diberikan kepada kami membuatkan dada saya saat itu terasa sebak dan hampir menitiskan air mata. Nasihatnya tentang kehidupan, kealpaan kepada Allah, sikap keegoan manusia, keilmuan dan macam-macam lagi membuatkan hati saya menjadi insaf seketika.
Sekembali dari kelas, saya bermuhasabah diri. Mencari diri sendiri dan memahami makna yang tersirat pada setiap kejadian yang menimpa diri. Selepas itu, suatu aneh berlaku dalam diri di mana saya dapat merasai jiwa saya terasa begitu tenang dan aman.
Walau apa pun, saya sentiasa bersyukur sesungguhnya Allah sentiasa menyayangi saya. Di kala usia semakin menginjak, acapkali saya dipertemukan dengan perkara-perkara baik yang dipenuhi seribu rahmat dan hikmah di sebaliknya..... Semoga Allah sentiasa melindungi diri kita semua dari sebarang perkara buruk....

AL-FATIHAH BUAT YASMIN AHMAD

Salam. Agak lama saya tidak 'update' blog ni lantaran mengalami masalah teknikal. Entah apa puncanya, saya tidak dapat mengakses untuk 'masuk' dlm blog ni. Jadi, banyaklah perkara yang terlepas untuk dicatat di sini. Harap saya tidak ketinggalan jauh. Rasanya tidak terlambat untuk saya mengucapkan takziah kepada keluarga arwah Yasmin Ahmad. Al fatihah... Pemergian insan seni bernama Yasmin Ahmad ini sangat dirasai ramai orang. Apa yang menariknya, arwah Yasmin berjaya menyatukan rakyat Malaysia berbilang kaum pada hari dia dikebumikan. Semangat Satu Malaysia yang baru diperkenalkan oleh PM kita, sememangnya sudah lama diterjemahkan melalui filem-filem arahan anak kelahiran Johor ini. Jika dulu, saya sentiasa ternanti iklan Petronas bila tiba musim perayaan... kerana iklan hasil garapan Yasmin cukup menyentuh perasaan dan diingat sepanjang masa. Selepas ini saya pasti merindui iklan seumpamanya itu... Semoga Yasmin Ahmad aman di alam barunya itu.... Al-Fatihah...... :-(

Sabtu, 11 Julai 2009

'NATRAH' TINGGAL SEJARAH

Rusuhan Natrah
Natrah bersama ibu angkatnya Che Aminah
Natrah bersama bekas suaminya Mansur Abadi serta Che Aminah semasa majlis pernikahan mereka.
Salam. Akhbar semalam memaklumkan tentang kematian Bertha Hertogh atau lebih dikenali dengan nama Islamnya Natrah. Natrah mati akibat leukemia pada usia 72 tahun di Huijbergen, Belanda. Generasi muda sekarang, mungkin tidak mengenali siapa dia Natrah ini dan apa kaitannya dia dengan negara kita. Sebenarnya, Natrah ini asalnya anak keturunan Belanda yang dipelihara oleh Che Aminah yang berasal dari Terengganu. Dia telah diislamkan dan hidup dengan budaya orang Melayu. Natrah dikatakan pandai membaca Al-Quran dan tidak pernah tinggal solat. Pada usia 13 tahun telah mencetuskan 'gelombang tsunami' apabila Natrah berkahwin dengan Mansor Abadi, seorang guru dari Singapura yang berusia 22 tahun. Perkahwinan ini telah mengundang kontroversi kerana undang-undang Belanda/British tidak membenarkan gadis di bawah umur berkahwin. Natrah akhirnya diperintahkan kembali kepada ke pangkuan keluarga kandungnya di Belanda. Keputusan mahkamah menimbulkan kemarahan umat Islam negara ini dan Singapura (ketika itu Singapura masih sebahagian Malaysia) menyebabkan berlakunya rusuhan berdarah. Dalam kejadian tersebut, seramai 18 orang terkorban dan beratus orang mengalami cedera parah. Tragedi malang itu dikenali dengan 'Rusuhan Natrah'. Kejadian itu juga menyebabkan Singapura diletakkan perintah berkurung selama dua hari. Pun begitu kesudahannya, Natrah tetap dibawa pulang ke pangkuan keluarga kandung dan tidak lagi mengamalkan budaya Melayu dan menukarkan agama ke Kristian hinggalah penghujung hayat.

Rabu, 8 Julai 2009

MICHAEL JACKSON DALAM KENANGAN

Salam. Hari Selasa lalu, internet tempat saya mengalami gangguan membuatkan saya tidak dapat mengakses blog ni. Semalam pula saya sibuk dengan urusan kerja. Dalam dua hari ini saya tidak membuat sebarang catatan. Namun hari ini, apa yang ingin saya kongsi dengan anda semua berkenaan tentang Michael Jackson memandangkan cerita tentang kematiannya masih hangat dan panas diperkatakan berjuta orang seluruh dunia. Ia menjadi topik bualan hingga mencetuskan tsunami di forum-forum internet menyebabkan beberapa negara mengalami gangguan kritikal. Kelmarin, seluruh dunia meratapi pemergian Raja Pop dunia ini. Kehilangan Michael cukup besar meskipun sepanjang hayatnya terselit pelbagai kontroversi begitu mengaibkan. Sebanyak manapun kontroversi melanda, nama Michael @ nama Islamnya Mikaeel, tetap menjadi sanjungan jutaan peminat serata dunia. Semasa hayat, dia juga mengejutkan dunia apabila melakukan tranformasi terhadap wajah hingga melenyapkan identiti dirinya sebagai bangsa kulit hitam. Tindakannya telah mencetuskan kemarahan sebilangan besar kaum kulit hitam. Mereka menganggap perbuatan Michael itu menghina kaum kulit hitam. Michael dituduh malu dengan identitinya. Namun penyanyi yang terkenal dengan tarian 'moonwalk' ini sebenarnya mahu menunjukkan kepada dunia bahawa dia mampu melakukan apa saja dengan kekayaan yang dimiliki itu termasuklah mengubah dirinya menjadi sebahagian kaum kulit putih! Malah, khabarnya Michael pernah meluahkan hasrat untuk mengklonkan diri sendiri agar 'tubuh badannya' terus hidup sepanjang hayat. Begitulah... namun kekayaan tidak sesekali dapat 'membeli' nyawa seseorang dan tidak mampu memanjangkan umur yang telah ditetapkan. Dan, tidak sesiapa yang menyangka bahawa hayat Michael tidak panjang. Sehebat mana kekayaan dimiliki, akhirnya dia rebah dan meninggalkan segala kehidupan mewah yang dimilikinya.... Semoga dia aman di sana!