Jumaat, 31 Julai 2009

PENTAS AKHIR 'ANAK WAYANG'

Salam.
"Pencarian Anak Wayang sudah sampai ke kemuncaknya. Di antara Hairi dan Hafiz, siapakah yang layak dinobatkan sebagai 'Anak Wayang' ? Adakah corak lakonan yang disulami penghayatan memberangsangkan, mampu memikat hati seterusnya dapat memancing undi penonton? Malam ini menjadi penentunya!"
Begitulah sedikit coretan Aishah PR dari Astro yang mengirim emel jemputan kepada saya ke Majlis Pentas Akhir Anak Wayang. Ia akan berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) jam 9.00 malam ini. Bagi anda penonton setia, bolehlah tontonnya di saluran Astro Ria (104) dan Astro Prima (105).

Foto : Ihsan Murai.Com

Khamis, 30 Julai 2009

MUKHSIN DI SLOT CEREKARAMA

Salam. baru sebentar tadi saya menerima emel dari Irma, rakan PR dari TV3. Irma memaklumkan filem Mukhsin akan ditayangkan di TV3 pada 1 Ogos (Sabtu) pada jam 10 malam iaitu selepas siaran Majalah 3 edisi khas "Yasmin Dalam Kenangan" dengan judul Pewarisan Yasmin Ahmad. Penyiaran filem Mukhsin sebagai tanda penghormatan terhadap arwah yang dikenali sebagai insan seni kreatif. Karya-karya arwah kebanyakannya melambangkan perpaduan, kasih sayang dan kejujuran. Ketika hayat, arwah dilihat sebagai seorang insan yang sangat jujur dan bersikap terbuka dalam menterjemahkan kehidupan realiti masyarakat negara ini. Biarpun, diasak kontroversi, namun beliau tetap teguh dan tegas dengan pendiriannya. Jadi, jangan lupa saksikan hasil 'buah tangan' arwah Yasmin Ahmad ini sambil kita hayati maksud yang ingin disampaikannya - Al-Fatihah. Poster filem Mukhsin. Filem ini mendapat beberapa anugerah antarabangsa. Salah satu babak dalam filem Mukhsin yang membabitkan dua pelakon berbakat Aryana dan Mohd Syafie Naswip. Watak "Mukhsin" membawa tuah kepada Mohd Syafie Naswip apabila memenangi anugerah bagi kategori Pelakon Kanak-Kanak di Festival Filem Malaysia tahun 2007 di Pulau Pinang. Kini Syafie menjadi salah seorang pelakon remaja lelaki popular.

Rabu, 29 Julai 2009

"PEWARISAN YASMIN AHMAD"

Salam. Saya terima emel dari Yusnita, rakan PR dari TV3 yang memaklumkan tentang segmen khas berjudul "Pewarisan Yasmin Ahmad" yang akan disiarkan melalui slot Majalah 3 pada 2 Ogos ini jam 9.00 malam. Dalam program satu jam itu, memaparkan hasil kerja arwah Yasmin Ahmad serta disusuli temuramah bersama ahli keluarga serta sahabat handai yang begitu rapat dengan arwah seperti Datuk Sri Farid Redzuan, Azean Irdawaty, Fatimah Abu Bakar dan ramai lagi. Temuramah ini berkisar tentang perasaan mereka kehilangan serta memori bersama arwah. Turut dimuatkan tentang pelbagai anugerah yang dimenangi sepanjang membabitkan diri dalam dunia perfileman. Jangan lupa saksikan perjuangan seorang anak seni yang hebat ini sambil kita sedekahkan Al-Fatihah untuknya..............................

Selasa, 28 Julai 2009

ALHAMDULLILAH!

Setiap hari Sabtu kiranya tidak ada urusan penting, saya pasti tidak lepaskan peluang menghadiri kelas agama yang diadakan di Seksyen 5, Wangsa Maju. Ustaz Azhan yang mengendalikan kelas ini nyata seorang yang cukup tenang dan bersahaja membuatkan kami tidak terasa kekok atau janggal.
Malah, cara Ustaz itu membuatkan kami mudah untuk berinteraksi dengannya terutama untuk bertanya apa-apa jua masalah yang dimusykilkan. Minggu ketiga, sangat bererti kepada saya. Kelas sepatutnya hanya satu jam iaitu 3 ptg - 4 ptg, tapi terlajak hampir ke jam 5 ptg.
Ini gara-gara Ustaz begitu teruja memberi nasihat yang berguna kepada kami. Banyak nasihat yang diberikan kepada kami membuatkan dada saya saat itu terasa sebak dan hampir menitiskan air mata. Nasihatnya tentang kehidupan, kealpaan kepada Allah, sikap keegoan manusia, keilmuan dan macam-macam lagi membuatkan hati saya menjadi insaf seketika.
Sekembali dari kelas, saya bermuhasabah diri. Mencari diri sendiri dan memahami makna yang tersirat pada setiap kejadian yang menimpa diri. Selepas itu, suatu aneh berlaku dalam diri di mana saya dapat merasai jiwa saya terasa begitu tenang dan aman.
Walau apa pun, saya sentiasa bersyukur sesungguhnya Allah sentiasa menyayangi saya. Di kala usia semakin menginjak, acapkali saya dipertemukan dengan perkara-perkara baik yang dipenuhi seribu rahmat dan hikmah di sebaliknya..... Semoga Allah sentiasa melindungi diri kita semua dari sebarang perkara buruk....

AL-FATIHAH BUAT YASMIN AHMAD

Salam. Agak lama saya tidak 'update' blog ni lantaran mengalami masalah teknikal. Entah apa puncanya, saya tidak dapat mengakses untuk 'masuk' dlm blog ni. Jadi, banyaklah perkara yang terlepas untuk dicatat di sini. Harap saya tidak ketinggalan jauh. Rasanya tidak terlambat untuk saya mengucapkan takziah kepada keluarga arwah Yasmin Ahmad. Al fatihah... Pemergian insan seni bernama Yasmin Ahmad ini sangat dirasai ramai orang. Apa yang menariknya, arwah Yasmin berjaya menyatukan rakyat Malaysia berbilang kaum pada hari dia dikebumikan. Semangat Satu Malaysia yang baru diperkenalkan oleh PM kita, sememangnya sudah lama diterjemahkan melalui filem-filem arahan anak kelahiran Johor ini. Jika dulu, saya sentiasa ternanti iklan Petronas bila tiba musim perayaan... kerana iklan hasil garapan Yasmin cukup menyentuh perasaan dan diingat sepanjang masa. Selepas ini saya pasti merindui iklan seumpamanya itu... Semoga Yasmin Ahmad aman di alam barunya itu.... Al-Fatihah...... :-(

Sabtu, 11 Julai 2009

'NATRAH' TINGGAL SEJARAH

Rusuhan Natrah
Natrah bersama ibu angkatnya Che Aminah
Natrah bersama bekas suaminya Mansur Abadi serta Che Aminah semasa majlis pernikahan mereka.
Salam. Akhbar semalam memaklumkan tentang kematian Bertha Hertogh atau lebih dikenali dengan nama Islamnya Natrah. Natrah mati akibat leukemia pada usia 72 tahun di Huijbergen, Belanda. Generasi muda sekarang, mungkin tidak mengenali siapa dia Natrah ini dan apa kaitannya dia dengan negara kita. Sebenarnya, Natrah ini asalnya anak keturunan Belanda yang dipelihara oleh Che Aminah yang berasal dari Terengganu. Dia telah diislamkan dan hidup dengan budaya orang Melayu. Natrah dikatakan pandai membaca Al-Quran dan tidak pernah tinggal solat. Pada usia 13 tahun telah mencetuskan 'gelombang tsunami' apabila Natrah berkahwin dengan Mansor Abadi, seorang guru dari Singapura yang berusia 22 tahun. Perkahwinan ini telah mengundang kontroversi kerana undang-undang Belanda/British tidak membenarkan gadis di bawah umur berkahwin. Natrah akhirnya diperintahkan kembali kepada ke pangkuan keluarga kandungnya di Belanda. Keputusan mahkamah menimbulkan kemarahan umat Islam negara ini dan Singapura (ketika itu Singapura masih sebahagian Malaysia) menyebabkan berlakunya rusuhan berdarah. Dalam kejadian tersebut, seramai 18 orang terkorban dan beratus orang mengalami cedera parah. Tragedi malang itu dikenali dengan 'Rusuhan Natrah'. Kejadian itu juga menyebabkan Singapura diletakkan perintah berkurung selama dua hari. Pun begitu kesudahannya, Natrah tetap dibawa pulang ke pangkuan keluarga kandung dan tidak lagi mengamalkan budaya Melayu dan menukarkan agama ke Kristian hinggalah penghujung hayat.

Rabu, 8 Julai 2009

MICHAEL JACKSON DALAM KENANGAN

Salam. Hari Selasa lalu, internet tempat saya mengalami gangguan membuatkan saya tidak dapat mengakses blog ni. Semalam pula saya sibuk dengan urusan kerja. Dalam dua hari ini saya tidak membuat sebarang catatan. Namun hari ini, apa yang ingin saya kongsi dengan anda semua berkenaan tentang Michael Jackson memandangkan cerita tentang kematiannya masih hangat dan panas diperkatakan berjuta orang seluruh dunia. Ia menjadi topik bualan hingga mencetuskan tsunami di forum-forum internet menyebabkan beberapa negara mengalami gangguan kritikal. Kelmarin, seluruh dunia meratapi pemergian Raja Pop dunia ini. Kehilangan Michael cukup besar meskipun sepanjang hayatnya terselit pelbagai kontroversi begitu mengaibkan. Sebanyak manapun kontroversi melanda, nama Michael @ nama Islamnya Mikaeel, tetap menjadi sanjungan jutaan peminat serata dunia. Semasa hayat, dia juga mengejutkan dunia apabila melakukan tranformasi terhadap wajah hingga melenyapkan identiti dirinya sebagai bangsa kulit hitam. Tindakannya telah mencetuskan kemarahan sebilangan besar kaum kulit hitam. Mereka menganggap perbuatan Michael itu menghina kaum kulit hitam. Michael dituduh malu dengan identitinya. Namun penyanyi yang terkenal dengan tarian 'moonwalk' ini sebenarnya mahu menunjukkan kepada dunia bahawa dia mampu melakukan apa saja dengan kekayaan yang dimiliki itu termasuklah mengubah dirinya menjadi sebahagian kaum kulit putih! Malah, khabarnya Michael pernah meluahkan hasrat untuk mengklonkan diri sendiri agar 'tubuh badannya' terus hidup sepanjang hayat. Begitulah... namun kekayaan tidak sesekali dapat 'membeli' nyawa seseorang dan tidak mampu memanjangkan umur yang telah ditetapkan. Dan, tidak sesiapa yang menyangka bahawa hayat Michael tidak panjang. Sehebat mana kekayaan dimiliki, akhirnya dia rebah dan meninggalkan segala kehidupan mewah yang dimilikinya.... Semoga dia aman di sana!

Isnin, 6 Julai 2009

SEMINAR KENALI POTENSI DIRI

Salam. Pada hari Sabtu bersamaan 4 Julai 2009 lalu, saya berkesempatan menghadiri Seminar Kenali Potensi Diri Untuk Kebahagiaan, Kesihatan, Kekayaaan Dan Kejayaan disampaikan oleh Dr Azizan Osman, pengasas WRTL (Workshop Rahsia Tarikh Lahir) yang diadakan di PWTC, KL. Dr Azizan sememangnya dikenali ramai kerana sering diundang ke program MHI dan Nasi Lemak Kopi O membincangkan topik berkenaan Rahsia Tarikh Lahir. Pada hari itu, seramai tiga ribu orang menghadirinya. Cukup hebat dan memang berbaloi datang. Macam-macam ilmu dan pengetahuan yang saya perolehi sepanjang hari itu. Malah saya merasakan ia belum mencukupi. Saya tidak puas menghadiri seminar hari itu. Ditambah pula, Dr Azizan memang bijak mengendali situasi dengan menyelitkan lawak jenakanya. Tak ada rasa bosan langsung.Pada hari itu, barulah saya tahu tentang kekuatan dalaman dan kelemahan yang ada pada diri saya. Memang tepat walaupun tidak 100%! Saya berazam mahu mencapai matlamat diri saya. Selama ini saya sudah banyak membuang masa begitu saja. Masa saya terbazir tanpa ada perancangan yang betul! Patut la segala apa yang dilakukan tidak menjadi, rupa-rupanya saya 'melanggar dinding!'. Selama ini saya fikir diri saya seorang pendiam, rendah diri, pemalu dan cepat gemuruh bila berdepan dengan orang.... lantas saya fikir, ianya tidak bersesuaian dengan kerjaya dlm bidang pr, pemasaran, hiburan atau apa saja yang berkaitan dengan komunikasi... namun, amat mengejutkan rupa-rupanya kekuatan saya pada suara! Ini berbeza dengan rakan saya yang mulutnya agak becok (saya panggil dia Pah Bedah sebab suka buat kecoh-hehehe, jangan marah). Pah Bedah ni kalau cakap, kuatnya boleh pecah dinding! Riuh rendah! Tapi yang kelakar, bila dikira tarikh lahir Pah Bedah ni, rupa-rupanya dia ni seorang kesepian! Gitu la. Berbalik kepada cerita saya, kesimpulannya selama ini saya tidak menggunakan kekuatan 'suara' untuk meningkatkan potensi diri.... saya biarkan ia terpendam begitu saja... Bila dah tahu di mana kelebihan dan kelemahan diri, saya berazam untuk mengubahkan diri saya menjadi insan hebat (seperti yang dikatakan Dr Azizan). Malah, akan manfaatkan apa yang ada pada saya.....

Jumaat, 3 Julai 2009

SAMA TAPI TAK SERUPA!

Salam. Mohd Syafie Naswip mula popular selepas membintangi filem Mukhsin. Lakonannya begitu menyerlah dan nyata remaja berusia 17 tahun ini mempunyai bakat besar dalam bidang lakonan. Ketika filem Mukhsin masuk panggung sekitar tahun 2007, secara tidak secara nama anak saudara yang bernama Adam menjadi popular. Adam pada ketika itu berusia 13 tahun dan Syafie pula berusia 15 tahun. Ramai yang menyangka Adam adalah Syafie! Ke mana Adam pergi, ramai yang memanggilnya dengan nama Mukhsin! Kami pun agak terkejut melihat ada sedikit persamaan tapi tetap ada perbezaannya. Apa-apa pun, saya serah kepada anda untuk menilainya sendiri... Adam Syafie

Rabu, 1 Julai 2009

ILMU

Salam. Ketika sibuk meneliti emel2 yg masuk, tanpa sengaja terbuka satu emel yang tidak saya kenal pengirimnya. Saya buka dan dapat satu ebook secara percuma berjudul Diari Seorang Internet Marketer hasil tulisan Lisa Hilmi. Saya langsung tidak mengenali siapa Lisa ini. Namun ebook tulisannya itu banyak memberi manfaat khususnya untuk mereka yang nak berjinak2 buat bisnes dalam internet. Saya dapati isi kandungannya cukup menarik perhatian kerana banyak pengetahuan yang saya perolehi. Kenapa kita gagal? Kenapa kita tertipu? Benarkah program bisnes internet tu sebenarnya sistem yang tak telus? Kenapa? Mengapa? Mmm semualah! Saya rasa elok juga anda membacanya ebook ini. Untuk dapatkannya sila layari http://lisahilmi.com